Tuesday, July 29, 2014

Kayuhan Universiti Malaysia Pahang (UMP) - SMK Tengku Abdullah

 01. Impian 110 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pelajar sekolah SMK Tengku Abdullah Pekan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak menjadi kenyataan pada 2hb Jun. Peserta Kayuhan UMP-Tengku Abdullah telah mengayuh basikal sejauh 324 km dalam Ekspedisi Berbasikal 1 Malaysia Pekan-Putrajaya. Kayuhan UMP-Tengku Abdullah ini tiba di Kompleks Perdana Putra Putrajaya tepat jam 8 pagi.
 02. Datuk Sri Najib berbangga dengan semangat yang ditunjukkan generasi muda yang mencerminkan hasrat mereka  menjadikan semangat ini sebagai bekalan hidup dalam menyumbang pembangunan Negara. Generasi yang lemah, longlai, tidak bersemangat dan terjebak dengan gejala sosial akan merosakkan masa depan Negara.
 03. Bagi Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim pengelibatan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pelajar sekolah SMK Tengku Abdullah Pekan bertujuan mewujudkan kerjasama erat antara dua pihak bagi merealisasikan konsep 1 Malaysia dalam  memasyarakatkan kampus. Aktiviti ini juga sebagai pengisi cuti sekolah dengan program yang berfaedah bagi mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan generasi muda.
 04. Kayuhan UMP-Tengku Abdullah berlangsung selama tiga hari dan melibatkan 12 lokasi perhentian. Iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, UMP Gambang, Kompleks Belia Maran, SK Gau Temerloh, SK Rantau Panjang Lanchang, SMK Karak Setia Bentong, Sekolah Menengah (SM) Vokasional Ampuan Afzan Bentong, SMK Bukit Tinggi, SBPI Gombak dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.
05. Ketua Ekspedisi Kayuhan UMP-Tengku Abdullah adalah Ramle Abid. Beliau telah membuat kerjasama dengan semua pihak melibatkan petugas peralatan, teknikal, pengangkutan, logistik dan bantuan petugas kesihatan berjaya memastikan peserta sentiasa berada dalam keadaan selamat hingga ke destinasi akhir.

Jurulatih pasukan Kayuhan UMP-Tengku Abdullah adalah Cikgu Sakri Hamzah. Beliau memastikan sokongan keluarga pelajar dan semangat guru-guru yang terus menyuntik semangat kepada pelajar. Saat paling getir adalah apabila sampai di kawasan mendaki bukit yang tinggi sekitar Bentong dan Karak. Semangat dan kerjasama telah membolehkan kepayahan ini diharungi dengan jaya. Tahap disiplin dan komitmen pelajar dalam perjalanan ekspedisi sentiasa dipantau supaya kayuhan mengikut jadual serta berjalan lancar.

Kayuhan UMP-Tengku Abdullah ini mendapat bantuan kawalan trafik PDRM dengan kerjasama oleh Ketua Pengarah Polis Pahang, Datuk Shahrifuddin Ab Ghani.

Turut serta dalam Kayuhan UMP-Tengku Abdullah adalah pelajar tingkatan empat SMK Tengku Abdullah iaitu Thanaselan a/l Ramachandran. Beliau tidak kekok berkayuh bersama rakan-rakan lain dengan membawa semangat 1Malaysia ke Putrajaya ini. Thanaselan tidak pernah menyertai sebarang ekspedisi sebelum ini dan amat teruja. Tidak pernah menyangka akan sampai ke Putrajaya dengan berbasikal.

Bagi Muhammad Naim Zulkafli, yang berpendapat cabaran yang paling tidak dapat dilupakan ketika kayuhan kami perlu melalui jalan di Karak. Ketika itu, beliau amat keletihan untuk melepasi jalan yang berbukit tinggi, walau bagaimanapun keletihan ini terubat apabila bersua dan dapat bersalaman dengan Perdana Menteri pada pagi ini.

Bagi Pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMP, Nurul Atikah Zainal mula berminat menyertai aktiviti berbasikal sejak awal tahun lalu dan Kayuhan UMP-Tengku Abdullah ini adalah  suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat beliau. Kerana dapat merasai susah senang kayuhan sejauh 342 km dengan menempuh panas terik. Akhirnya dapat berjumpa dengan Perdana Menteri yang amat di kaguminya selama ini. Turut menyertai Nurul Atikah adalah 8 lagi peserta wanita yang mahu membuktikan perempuan juga berkemampuan menjalankan aktiviti lasak.

Peserta Kayuhan UMP-Tengku Abdullah dilepaskan  Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Peramu Jaya , YB Ibrahim Awang Ismail di rumah Perdana Menteri Malaysia di Pekan.

Turut membantu Kayuhan UMP-Tengku Abdullah adalah Jabatan Pertahanan Awam dan Parlimen Pekan.

Dipetik dari Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang.
SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI, 03-06-2011, 09:36:39.
community.ump.edu.my - Peserta Ekspedisi Berbasikal Temui PM di Putrajaya

No comments:

Post a Comment