KUANTAN - Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang (KPMNP) menggalakkan setiap persatuan berbasikal negeri Pahang dan pusat peranginan negeri ini bergiat aktif menganjurkan aktiviti berbasikal jarak jauh bagi menambah aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri.
sumber gambar: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/teluk-cempedak-tak-terjejas-1.82391
Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang Idros Yahya berkata aktiviti ini mempunyai nilai pelancongan tersendiri, yang menjurus kepada aktiviti lasak dan terdapat permintaan bagi laluan yang lebih panjang dan mencabar.
"Kebanyakan aktiviti kayuhan ini melibatkan laluan merentasi kampung dan bandar, peserta secara tidak langsung dapat meneroka dan menikmati pemandangan di sepanjang laluan ikon pelancongan di Pahang," katanya kepada Bernama pada Kembara Media Fotografi Cuti-Cuti 1Malaysia 2012 di sini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Kementerian Pelancongan Malaysia Pahang Amran Abd Rahman dan Pengurus Impiana Resort Cherating Kamarudin Kassim.
Setakat ini, KPMNP telah menganjurkan aktiviti seumpamanya seperti Kayuhan Taman Negara Green Jamboree 2012, Kayuhan 'Mountain Bike' di Jengka sejauh 46KM dan kayuhan di Raub sepanjang 140KM merentasi laluan Bentong, Lipis dan Raub.
Idros berkata satu kumpulan seramai 130 peserta dari Singapura akan menyertai aktiviti berbasikal dari Kuantan ke Singapura, di mana mereka akan menginap satu malam di Kuantan dan Rompin sebelum pulang ke Singapura.
Sehingga pertengahan tahun ini, seramai 3,646 peserta menyertai acara kayuhan basikal di sekitar negeri Pahang dan KPMNP menyasarkan sejumlah 6,500 pelancong berbasikal sehingga akhir tahun ini, katanya. - Bernama